Friday, October 1, 2010

KEJADIAN SETIAP PAGI JUMAAT

Diceritakan tentang kejadian insan manusia dan kesudahannya yang selalunya diceritakan saban subuh Jumaat, tak terkecuali pagi tadi. Beginilah kesahnya:


Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa yang beredar, sedang ia masih belum wujud lagi dan tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut. Maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat?

Sesungguhnya Allah telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur dari pati benih lelaki dan perempuan, serta Dia menguji mereka dengan kewajipan. Sebab itulah Allah jadikan mereka berkeadaan boleh mendengar dan melihat. Kerana keadaan sebegitu tidak mencukupi, maka Allah menunjukkan kepada mereka melalui akalnya dan RasulNya ke jalan yang benar dan juga yang salah. Terserahlah kepada manusia, samaada mereka mahu bersyukur dengan beriman dan taat atau mereka memilih berlaku kufur dengan mengingkari kebenaran atau menderhakaNya.

Dalam pada itu, Allah sediakan bagi mereka yang kufur atau menderhaka itu beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang apinya.

Bagi orang yang berbakti dengan taat dan kebajikan, mereka akan diberi minuman dari piala sejenis minuman yang bercampur “Kafur”. Iaitu sebuah matair di Syurga yang diminum daripadanya oleh hambaNya yang taat. Mereka boleh mengalirnya di tempat tinggal mereka dengan mudahnya dan menurut kemahuannya.

Mereka dikurniakan kesenangan sebegitu kerana mereka menyempurnakan nazarnya, apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya. Serta mereka takutkan hari akhirat serta azab seksanya. Juga mereka memberi makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, sambil berkata dengan lidah atau dengan hatinya: “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak berkehendaki balasan dari kamu atau pun ucapan terima kasih. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab pada hari di mana muka orang yang bersalah kelihatan masam berkerut”.

Dengan sebab mereka menjaga diri dari kesalahan, maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan berseri-seri di muka dan perasaan ria gembira di hati.

Dan kerana kesabaran mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya, mereka dibalas Allah dengan Syurga dan persalinan sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin yang berhias. Tiada nampak di situ adanya matahari usahkan hawa panasnya, dan tidak juga mereka merasai suasana yang terlampau sejuk. Sedang naungan pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula mudah untuk mereka petik.

Selain itu, diedarkan kepada mereka oleh pelayannya, bijana dari perak dan piala minuman yang keadaannya laksana kaca nampak jelas isinya; keadaannya laksana kaca, sedang ianya dari perak. Pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.

Di dalam Syurga itu juga mreka diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari “Zanjabil”, iaitu sebuah mata air dalam Syurga yang disebutkan sifatnya sebagai “Salsabil”.

Mereka dilayani oleh anak muda lelaki yang tetap kekal mudanya, yang sentiasa beredar di sekitar mereka. Apabila engkau melihat anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.

Apabila engkau melihat di dalam Syurga itu, engkau akan melihat nikmat yang melimpah dan kerajaan yang besar tidak ada bandingannya. Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal yang bertekat. Serta mereka dihiasi dengan gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman yang bersih suci.

Serta dikatakan kepada mereka: “Segala pemberian ini adalah untuk kamu sebagai balasan usaha amal kamu di dunia dahulu yang diterima dan dihargai Allah”.

Sesungguhnya, Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu Muhammad, secara beransur. Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu. Dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka atau orang yang kufur ingkar.

Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu di dalam dan di luar sembahyang, pada waktu pagi dan petang, dan dengan apa keadaan pun. Dan pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhan dengan mengerjakan sembahyang dan sebolehnya bertasbihlah memujiNya dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud, pada sebahagian yang panjang di waktu malam.

Orang yang menentangmu itu sentiasa mencintai kesenangan dan kemewahan dunia yang cepat habisnya, serta mereka tidak menghiraukan bekalan hari akhirat yang amat berat penderitaannya kepada orang yang tidak bertaqwa.

Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka. Kami berkuasa membinasakan mereka dan apabila Kami kehendaki, dan Kami gantikan mereka dengan orang serupa mereka, dengan penggantian yang sebaiknya.

Sesungguhnya, segala keterangan yang disebutkan ini, menjadi peringatan. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah dengan iman dan taat.

Dan tiadalah kamu berkemahuan melakukan sesuatu perkara melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya.

Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya menurut ketetapan peraturanNya, ke dalam rahmatNya dengan ditempatkanNya ke dalam Syurga. Dan orang yang zalim, Ia sediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.




Klik sini untuk dengar bacaannya:



Al-Insan

Al-Insan, Madinah


-----------------------------------------------------------------


Tak kurang juga diceritakan juga ialah kesah manusia taat yang bersujud, diturunkan di sini:


32. As-Sajdah


1. Tidak syak lagi bahawa Al-Quran ini diturunkan dari Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.

2. Orang kafir tidak mengakui hakikat ini, bahkan mereka mengatakan bahawa Muhammad lah yang mengadakan Al-Quran menurut rekaannya. Dakwaan mereka itu tidak benar. Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhan supaya Muhammad memberi ingatan dan amaran kepada kaumnya yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

3. Allah lah yang mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy. Kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dariNya. Tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar untuk mencapai keredaanNya?

4. Allah mentadbirkan makhlukNya. Bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan dari langit ke bumi. Kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya pada suatu masa yang dirasai oleh orang yang bersalah banyak bilangan tahunnya.

5. Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Yang menciptakan setiap sesuatu dengan sebaiknya.

6. Dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah. Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air benih yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia sempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya dengan mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta akal fikiran supaya kamu bersyukur. Tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.

7. Mereka yang kafir itu berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian?” Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula, bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

8. Katakanlah; “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu untuk menerima balasan”.

9. Sungguh ngeri sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelasnya akan segala yang kami ingkari dulu. Kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal baik. Kami sekarang telah yakin”.

10. Bagi menolak rayuan itu Allah berfirman: “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan memberi hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada setiap seorang tanpa usahanya masing-masing, nescaya Kami berikan kepada setiap seorang akan hidayah petunjuknya sebelum mereka meninggal dunia, supaya tidak diazab di akhirat. Tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu. Sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh”.

11. Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi dan dengan demikian rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu dulu kerjakan”.

12. Sesungguhnya, yang sebenarnya beriman kepada ayat keterangan Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud menandakan taat patuh, dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka. Dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

13. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur dengan sedikit sangat tidurnya, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal soleh. Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takutkan kemurkaanNya serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi keredaanNya. Dan mereka pula selalu mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

14. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka dari segala jenis nikmat yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka telah kerjakan.

15. Jika demikian halnya, maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama dalam menerima balasan masing-masing. Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

16. Sebaliknya, orang yang fasik, tempat kediaman mereka ialah neraka - setiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya serta dikatakan kepadanya: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.

17. Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar di akhirat kelak, supaya mereka rujuk kembali dan bertaubat.

18. Tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya dan mengingkarinya. Kami tetap membalas mereka ini.

19. Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad. Maka janganlah engkau ragu menyambut dan menerimanya. Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

20. Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar dalam menjalankan tugas itu serta mereka tetap yakin akan ayat keterangan Kami.

21. Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu sesungguhnya, Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

22. Belumkah lagi ternyata kepada mereka yang kafir itu bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum yang kufur ingkar terdahulu, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat tinggal kaum tersebut? Sesungguhnya kebinasaan kaum itu mengandungi keterangan untuk dijadikan iktibar. Oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar dan insaf?

23. Tidakkah mereka yang tidak mahu taat dan bersyukur itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Mengapa mereka tidak mahu memerhati semuanya itu supaya taat dan bersyukur?

24. Mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang yang benar?” Katakanlah: “Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh berbuat demikian”.

25. Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah kesudahan mereka. Sesungguhnya, mereka pun menunggu kesudahanmu.



As-Sajdah, Mekah





Klik sini untuk dengar surahnya:


As-Sajdah