Tuesday, October 14, 2008

HIDAYATUS SALIKIN BAB 3

HIDAYATUS SALIKIN - BAB KETIGA

HIDAYATUS SALIKIN
SYEIKH ABDUS SHAMAD AL-FALIMBANI
TERJEMAHAN DARIPADA HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH



BAB KETIGA
PADA MENYATAKAN MENJAUHKAN SEGALA MAKSIAT YANG ZAHIR

Kata Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala yang bermaksud:

“ Ketahuilah olehmu, bahawasanya agama itu 2 bahagian:
Pertama : Meninggalkan maksiat yang ditegah.
Kedua : Berbuat taat yang disuruhkan akan dia.

Dan meninggalkan akan segala yang ditegah itu sangat susah. Maka berbuat taat itu kuasa atasnya oleh tiap-tiap seorang. Dan meninggalkan syahwat itu melazimkan akan maksiat itu tiada kuasa atasnya melainkan Shadiqun. Dan dari karena inilah sabda Nabi S.A.W, “ Bermula orang yang muhajir itu (ialah) seorang yang meninggalkan akan kejahatan dan orang yang perang sabil itu, iaitu orang yang memerangkan hawa nafsunya”

Dan lagi kata Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala yang ertinya:

“ Ketahuilah olehmu, bahawasanya engkau hanya [se]sungguhnya berbuat maksiat akan Allah ‘Azza wa Jalla dengan segala anggotamu. Dan hanya [se]sungguhnya anggotamu it nikmat daripada Allah Ta’ala atasmu, dan petaruhan padamu. Maka jika engkau perbuat akan maksiat dengan suatu daripada anggotamu itu maka seolah-olah engkau minta tolong dengan nikmat Allah Taala atas berbuat maksiat. Maka yang demikian itu sehingga-hingga kufur bagi nikmat Allah Taala, yakni menyalahi akan yang dijadikan [oleh] Allah Ta’ala dengan dia. Kerana segala anggotamu itu dijadikan akan dia kerana berbuat taat kepada Allah Ta’ala. Maka tatkala engkau berbuat maksiat dengan dia maka yang demiakian itu menyalahi akan yang dijadikan dengan dia. Inilah makna kufur di sini, iaitu dinamakan dengan kufur nikmat . Dan bukan makna kufur di sini makna kufur agama. Dan lagi segala anggotamu itu petaruhan daripada Allah Ta’ala kepadamu. Maka jika engkau berbuat maksiat dengan dia nescaya engkau khianat. Dan khianatmu pada petaruhan yang menaruh akan dia oleh Allah Ta’ala padamu itu, iaitu sehingga-hingga maksiat. Maka segala anggotamu itu seperti rakyatmu, maka titik olehmu betapa engkau memeliharakan akan dia. Maka sekalian kamu itu punya peliharaan, dan tiap-tiap kamu ditanya pada hari kiamat akan suatu yang kamu pelihara itu”.

Maka jikalau tiada engkau peliharakan segala anggotamu itu daripada segala maksiat nescaya ditanya oleh Allah Ta’ala akan kamu pada hari kiamat. Maka tatkala itu tiada dapat lagi engkau berdusta dan tiada dapat engkau sembunyikan melainkan nyata akan perbuatanmu itu. Kerana segala anggotamu itu pada ketika hari kiamat itu naik saksi atas perbuatanmu itu dengan perkataan yang nyata lagi fasih dan jikalau lidahmu tiada bertutur sekali pun. Seperti firman Allah Ta’ala dalam surah an-Nur ayat 24 yang bermaksud:

“ Pada hari yang naik saksi atas mereka itu segala lidah mereka itu, dan segala tangan mereka itu, dan segala kaki mereka itu dengan segala maksiat yang ada diperbuat oleh mereka itu akan dia, iaitu pada hari kiamat”.

Oleh itu engkau peliharakan segala badanmu, istimewa pula segala anggotamu yang tujuh daripada segala maksiat yang [di] tegahkan akan dia oleh Allah Ta’ala iaitu:
Memelihara mata
Memelihara Telinga
MemeliharaLidah
Memelihara Perut
Memelihara Faraj
Memelihara Tangan
Memelihara Kaki

Secara ringkasnya, hendaklah pelihara matamu itu daripada empat perkara iaitu:
Pelihara daripada melihat segala yang diharamkan
Pelihara matamu daripada melihat muda belia yang baik rupanya dengan syahwat.
Pelihara matamu daripada melihat kepada orang yang Muslim dengan menghinakan akan dia.
Engkau peliharakan daripada melihat dengan dia kepada segala aib.

Telinga, dijadikan bagimu supaya mendengar kalam Allah iaitu Al-Quran, hadis Nabi dan mendengar akan hikmah Auliya’ Allah. Maka hendaklah pelihara telingamu daripada lima perkara iaitu mendengar segala yang bid’ah yang dicela, mengumpat, perkataan yang keji, perkara yang bathil, dan pelihara mendengar daripada orang yang mengata akan kejahatan manusia.

Lidah, dengan kurniaan lidah maka perlu memperbanyakkan zikrullah dan membaca Al-Quran. Maka peliharalah lidahmu daripada perkara seperti berdusta iaitu dengan bersenda-senda atau bersungguh-sungguh, peliharalah lidahmu daripada menyalahi janji, mengumpat-umpat akan orang – dan kata imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala:
“ Maka mengumpat itu terlebih sangat jahat daripada tiga puluh zina di dalam Islam, demikian sudah warid di dalam hais Rasulullah S.A.W”.
Mengumpat juga dibolehkan mengikut syara’ iaitu pada enam tempat (rujuk kitab)

Sambungan yang keempat, peliharalah lidahmu daripada mira’ yakni mencela perkataan orang dengan membantahi akan dia dan membenarkan akan dirinya. Dan jidal yakni berbantah pada masalah ilmu dengan mendirikan dalil kerana hendak mengaibkan akan orang. Dan munaqasyah fil kalam, yakni membantah akan perkataan orang dan menjahilkan baginya, dan mencela bagi perkatan orang, dan memuji bagi dirinya. Kemudian peliharalah lidahmu daripada menyucikan akan dirimu dan memuji akan dia, pelihara lidahmu daripada melaknat akan sesuatu daripada makhluk Allah dan daripada memaki akan sesuatuyang dijadikan oleh Allah, peliharalah lidahmu daripada mendoakan atas seseorang daripada makhluk Allah Ta’ala dengan doa kejahatan, walaupun engkau dizalimi pun jangan mendoakan mereka dengan kejahatan. Dan terakhir, peliharalah lidahmu daripada al-mizah (bergurau-gurau), sakhriyah ( bersenda-senda), dan istihza’ bin nas (menghinakan akan manusia dengan dia dipermainkan-mainnya akan dia).

Perut, maka hendaklah engkau peliharakan akan dia daripada memakan yang haram, dan yang syubhat. Maka hendaklah engkau menuntut atau memakan makanan yang halal.

Faraj, adapun faraj itu hendaklah peliharakan akan dia daripada tiap-tiap yang diharamkan akan dia oleh Allah Taala. Dan jadikan dirimu itu seperti yang dikatakan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quran, surah al-Mu’minun ayat 5 yang bermaksud:

“ Dan mereka yang memeliharakan akan faraj mereka itu melainkan atas isteri mereka itu atau gundik mereka itu, maka bahawasanya mereka itu tida cacat celanya oleh syara’ “

Tangan, adapun kedua tangan itu maka hendaklah engkau memeliharanya daripada memukul akan orang Islam dan daripada mengambil harta yang haram. Dan peliharalah kedua tangan itu daripada menyakiti makhluk Allah Ta’ala atau engkau khianat dengan keduanya itu pada amanah orang atau kepada pertaruhan orang.

Kaki, Adapun kedua kaki itu hendak kamu memeliharanya daripada berjalan ke tempat yang diharamkan oleh syariat, atau berjalan kepada orang yang zalim atau raja yang zalim.

Wallahu’alam...

No comments: